YDP Agong Rasmi Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Rakyat 11 Mac

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Majlis Parlimen Ke-14 pada 11 Mac ini pukul 10 pagi.
Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah berkata pemberitahuan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang akan berlangsung selama 20 hari iaitu bermula 11 Mac sehingga 11 April ini telah dikeluarkan pada 8 Feb lepas.
“Sehubungan dengan itu, raptai penuh Istiadat Pembukaan akan diadakan pada 6 Mac,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosmee berkata mesyuarat berkenaan akan dimulakan dengan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama dua minggu.

“Diikuti dengan menteri-menteri menjawab Perbahasan Titah Diraja pada minggu ketiga. Urusan minggu ke-4 dan ke-5 adalah perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.
Beliau berkata selaras dengan reformasi Parlimen, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memutuskan sesi Pertanyaan Jawab Lisan ditetapkan selama enam minit bagi setiap pertanyaan mulai mesyuarat ini.
“Ini bagi membolehkan sebanyak mungkin pertanyaan lisan dijawab oleh pihak kementerian dalam tempoh sejam 30 minit mengikut Peraturan Mesyuarat 24(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Pemberitahuan mengenai penetapan masa pertanyaan jawab lisan telah dikeluarkan pada 4 Mac lalu,” katanya. – BERNAMA

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading...
Loading...