Thursday , September 19 2019
Home / :BLOG: / UMNO terima dana sah sepanjang enam era pemerintahan

UMNO terima dana sah sepanjang enam era pemerintahan

GUA MUSANG – Jemaah Penasihat UMNO memberi amaran kepada pihak yang cuba mengaitkan parti itu dalam dakwaan menerima wang haram daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusinya, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tidak menjadi kesalahan menggunakan kebebasan demokrasi seperti membuat petisyen atau laporan, namun UMNO tidak akan berdiam diri.

Katanya, parti berkenaan menerima dana yang sah daripada ibu pejabat sepanjang enam era pemerintahan perdana menteri.

“Mana-mana pihak boleh buat tuduhan dan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kerana kita negara demokrasi.

“Tapi, mereka kena ikut peraturan dan undang-undang. Jangan guna undang-undang rimba dengan buat tuduhan melulu, takut kena kifarah. Kita tidak akan berdiam diri.

“Sepanjang enam era pemerintahan, kita terima dana dari ibu pejabat untuk kegunaan parti. Nak siasat buat apa, kita tak salah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM) di Pusat Khidmat DUN Galas, di sini.
Turut hadir, ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Paloh, Amran Arifin dan ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff.

Terdahulu, SPRM membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.
Dalam pada itu, PH Kelantan melalui sayap pemudanya menggesa ROS mengambil tindakan tegas terhadap UMNO.

Timbalan Pemuda PH Kelantan, Hazmi Hassan berkata, gesaan itu dibuat susulan dakwaan SPRM bahawa parti itu menerima wang secara haram daripada 1MDB.

Sinar Harian

Loading...