Monday , August 26 2019
Home / :BLOG: / UMNO perakukan kerjasama sewaktu Perhimpunan Agung

UMNO perakukan kerjasama sewaktu Perhimpunan Agung

KUALA LUMPUR – UMNO akan memperaku dan memuktamadkan kerjasama politik parti itu dengan Pas pada Perhimpunan Agung UMNO pada hujung tahun ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, komitmen kerjasama politik tersebut yang diputuskan oleh Pas menerusi Muktamar Tahunan parti itu baru-baru ini sangat dihargai dan UMNO juga akan mengambil langkah serupa.

“Pas telah memuktamadkan kerjasama dengan UMNO dan telah diluluskan dalam Muktamar Pas, ia satu daripada perkara yang ditunggu-tunggu untuk kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Kita menyambut baik perkara itu dan bagi saya UMNO juga akan berbuat demikian untuk memperakukan kerjasama itu apabila tiba Perhimpunan Agung UMNO nanti iaitu pada hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 yang berakhir semalam telah memperlihatkan komitmen parti itu untuk memastikan kerjasama politik dengan UMNO dilaksanakan.

Dalam keputusan bersejarah tersebut, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Pas sedang menjalani langkah yang proaktif menegakkan perpaduan ummah menggunakan konsep ta’awun antara parti Melayu-Islam demi kemaslahan ummah.

Sementara itu, jelas Mahdzir, kerjasama di antara Pas dan UMNO sudah tentunya akan turut memberikan manfaat kepada kedua-dua parti politik tersebut termasuk untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya. – UTUSAN ONLINE

Loading...