Home / Berita / TERKENANG JAMINAN TUN DR MAHATHIR UNTUK KAWAL DAP

TERKENANG JAMINAN TUN DR MAHATHIR UNTUK KAWAL DAP

TERKENANG JAMINAN TUN DR MAHATHIR UNTUK KAWAL DAP

Gesaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dalam Wacana Sinar Harian Ke-120 pada 20 Ogos 2019 supaya Tun Dr Mahathir “menceraikan” DAP yang kononnya tak boleh dikawal mengingatkan saya kepada Wacana Sinar Harian Ke-53 pada 22 Mac 2018.

Setelah Tun Dr Mahathir tanpa disangka-sangka hadir ke wacana yang memaksa panelisnya, termasuk saya, membincangkan kesesuaian beliau menjadi Perdana Menteri dari sudut usia, saya telah diberi ruang oleh moderator, Nazri Kahar, untuk bertanya soalan kepada beliau.

Soalan yang saya tanyakan kepada beliau bagaimanapun bukanlah mengenai usia tetapi mengenai kemampuan beliau untuk mengawal DAP yang dijawab dengan yakin oleh beliau bahawa beliau boleh kerana “I have been around quite sometime, I have some experience”.

Sejak mutakhir ini, ramai pula kawan-kawan yang menyatakan kepada saya kononnya telahan saya dahulu adalah agak benar, iaitu bahawa DAP agak sukar dikawal, berdasarkan kepada beberapa desakan atau gerak kerja yang kononnya dibuat oleh DAP melalui kerajaan.

Terbaru adalah kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr MAZA, bahawa “bila negara banyak kepala samseng macam negara kita sekarang ini, nampaknya perlu satu orang yang keras kepala juga yang dominan seperti Saddam Hussein mesti uruskan negara ini dan kita akan cari calon itu”.

Pada hemat saya, pemimpin “yang keras kepala juga yang dominan seperti Saddam Hussein” yang dihasratkan oleh Datuk Dr MAZA ini sebenarnya tidak perlu dicari lagi kerana ia memang sudah sedia wujud di Malaysia dalam bentuk batang tubuh Tun Dr Mahathir sendiri.

Waktu pemimpin MCA mengugut untuk meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan pindaan enakmen Islam Selangor pada 1989 umpamanya Tun Dr Mahathir terus sahaja menyenyapkan MCA melalui keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada 2 Disember 1989.

Jawapan tegas Tun Dr Mahathir ialah pemimpin MCA boleh letak jawatan tapi kalau MCA nak bertanding balik (waktu itu pemimpin yang letak jawatan boleh bertanding balik dalam PRK) UMNO tak akan sokong dan MCA tak boleh guna lambang BN dalam PRK.

Sehingga sekarang masih terngiang-ngiang di ingatan dan masih tertunggu-tunggu jaminan Tun Dr Mahathir dalam Wacana Sinar Harian Ke-53 bahawa beliau telah lama berpolitik dan beliau ada banyak pengalaman yang akan membolehkan beliau untuk mengawal DAP.

 

Loading...