Monday , August 26 2019
Home / :BLOG: / Tangani ekonomi, bukan ‘bertikam’ sesama sendiri

Tangani ekonomi, bukan ‘bertikam’ sesama sendiri

5 Mac 2019 – Khazanah Rugi RM6.271 bilion, pertama kali sejak 2005

20 April 2019 – FTSE Russell bakal keluarkan Malaysia dari indeks Bon Dunia

21 Jun 2019 – Moody’s Investor Services umum penurunan Penarafan Kredit Petronas

Berita gembira apa lagi yang boleh rakyat harapkan daripada ekonomi Negara?

1. Hampir saja setiap bulan kita dihidangkan dengan berita suram tentang ekonomi negara yang cukup mencemaskan. Khazanah rugi; mereka hujahkan bahawa ini proses rasionalisasi biasa. Apabila FTSE Russell ancam mengeluarkan Malaysia daripada indeks bon dunia – hujah kerajaan, pasaran bon kita masih kuat tanpa indeks tersebut. Apabila penurunan penarafan kredit Petronas diumumkan; Menteri kata tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

2. Hakikat sebenarnya tidak semudah itu. Apa yang berlaku ini merupakan petanda jelas bahawa ada sesuatu yang ‘tidak kena’ dan ‘tidak wajar’ sedang berlaku. Sudah lebih setahun, alasan apa lagi yang mahu dihujahkan kerajaan.

3. Terbaru, kebergantungan melampau kerajaan kepada dana Petronas dikatakan punca penarafan kredit syarikat minyak dan gas menurun. Ya, Moody’s menggunakan ‘kayu ukur baru’, tetapi itu bukan alasan mutlak.

4. Kerajaan boleh mengatakan penarafan kredit Moody’s terhadap Petronas sebagai tidak semestinya tepat (not necessarily accurate), namun inilah telahan dan penarafan sama yang dirujuk oleh fraterniti perniagaan dunia.

5. Kita tidak ragui profesionalisme pengurusan Petronas, namun keterdesakan dan tekanan kerajaan itu yang kita risaukan. Jangan jadikan Petronas sebagai satu-satunya ‘angsa emas’ pendapatan kerajaan.

6. Penurunan penarafan Petronas akan memberi kesan kepada syarikat tersebut. Kesan terhadap usaha pengembangan perniagaan, mahupun kos lain kepada syarikat tersebut.

7. Rakyat sudah mula bertanya – mana dia kluster ekonomi baharu yang boleh dibangunkan? Sila tunjukkan di mana pelaburan baru (FDI) yang dikatakan paling kukuh dalam sejarah? Nyatakan angka jumlah pekerjaan baru yang telah tercipta untuk orang muda?

8. Rakyat menantikan pengumuman yang positif dan jitu. Rakyat menunggu strategi ekonomi yang sahih dan tepat.

9. Pakej ekonomi kerajaan kelihatan masih longgar dan belum tuntas. Inisiatif dan usaha masih belum menampakkan manfaat yang besar kepada Negara. Pasaran saham, nilai mata wang masih belum bingkas.

10. Rakyat mengharapkan strategi kerajaan yang lebih tangkas menangani isu ekonomi. Bukan tangkas dan sibuk “bertikam” sesama sendiri.

Penulis ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Utusan Malaysia.

Loading...