Home / :BLOG: / Sultan Sharafuddin berkenan dengar taklimat pembangunan Kampung Bharu

Sultan Sharafuddin berkenan dengar taklimat pembangunan Kampung Bharu

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melihat secara langsung pertumbuhan pesat Kampong Bharu
ketika mengadakan lawatan ke TAMU Hotel & Suites di Kampong Bharu di sini.

Ketibaan baginda pada pukul 11 pagi diiringi Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut mengiringi baginda, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsidar Taharin serta Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Baginda diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kampong Bharu Zulkurnain Hassan mengenai rancangan pembangunan untuk Kampong Bharu dengan kemajuan yang berpotensi pada masa akan datang.

Baginda berdua turut meninjau kemudahan yang terdapat di hotel yang mula beroperasi Februari tahun lepas selain turut diberi taklimat berhubung pembangunan hotel setinggi 42 tingkat itu, yang menelan kos pembinaan RM200 juta yang dilengkapi 276 bilik serta 129 servis suite.

Baginda berdua meluangkan masa hampir tiga jam di hotel berkenaan sebelum berangkat pulang kira-kira pukul 2 petang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group, Datuk Mohd Khay Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata, lawatan yang diadakan pada hari ini adalah lawatan peribadi baginda yang sangat mengambil berat mengenai Kampong Bharu.

“Menerusi lawatan ini, baginda berpeluang melihat lebih dekat pembangunan di Kampung Bharu melalui pemandangan dari atas. Hotel ini merupakan bangunan ikonik di Kampong Bharu yang boleh dianggap sebagai permata kerana lokasinya yang strategik berada ditengah-tengah segi tiga emas Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd Khay yang merupakan anak jati Kampung Baharu berkata pembinaan hotel tersebut adalah projek pertama Zikay Group di Kampong Bharu dan tidak menolak akan ada lagi projek seumpama itu di kawasan berkenaan.

“Pembangunan di Kuala Lumpur tidak sampai ke Kampong Bharu mendorong kami berani mengambil langkah awal dan menampakkan berhasil dengan terbangunnya hotel bertaraf empat bintang ini dan berharap akan ada projek lain menyusul,” katanya.

Beliau juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membangunkan kawasan Kampong Bharu dengan mengekalkan tradisi dan identiti Islam, Melayu di kawasan tersebut.

— BERNAMA

Loading...