Home / :BLOG: / Siasat sama dakwaan PH terima dana IRI

Siasat sama dakwaan PH terima dana IRI

Pas sentiasa terbuka SPRM siasat dakwaan dana RM90 juta

ARAU 7 Feb. – Pas negeri menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) menerima dana daripada International Republican Institute (IRI) bertujuan bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, sebelum ini, Presiden IRI, Daniel Twining mendedahkan mengenai kerjasama institut itu dengan parti pembangkang di negara ini.
Katanya, isu tersebut dilihat adalah lebih berat dan serius kerana ia boleh menjejaskan kedaulatan negara.
“Selain menyiasat Pas menerima RM90 juta, SPRM juga perlu menyiasat PH dalam isu menerima dana daripada IRI ini. 
“Pas sentiasa terbuka untuk SPRM siasat (dana RM90 juta) dan di situ orang akan tahu kebenarannya. Lagi cepat siasat, lagi baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam satu forum pada 17 Julai lalu, Twining mendedahkan, IRI bekerjasama untuk mengukuhkan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002, menerusi dana National Endowment for Democracy (NED).
Twining berkata, selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau bertemu dengan pemimpin baharu Malaysia yang rata-ratanya pernah bekerjasama dengan IRI, manakala seorang pemimpin kanan yang berada dalam kerajaan memuji IRI yang tidak berputus asa terhadap mereka.
IRI memiliki kaitan dengan Parti Republikan menerusi Senator Amerika Syarikat (AS), John McCain yang menjadi pengerusi sejak 25 tahun lalu sebelum melepaskan jawatan.- UTUSAN ONLINE

Loading...