Home / Berita / Rogol jurulatih gimnasium bergilir, tiga sekawan ditahan

Rogol jurulatih gimnasium bergilir, tiga sekawan ditahan

KLANG, 24 Ogos — Tiga sekawan disyaki merogol seorang jurulatih gimnasium ditahan polis kelmarin selepas hampir sebulan diburu.

Mereka ditahan di beberapa lokasi antara 1 tengah hari hingga 11 malam di sekitar daerah ini dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau, lapor Harian Metro.

Ketua polis Klang Selatan berkata pada 1 pagi 28 Julai lalu, salah seorang suspek mengambil wanita 32 tahun itu keluar dari rumahnya di Shah Alam.

Menaiki kereta hitam, perempuan itu dibawa ke sebuah rumah di Taman Sentosa di sini dan memintanya mengadakan hubungan seks, kata ACP Shamsul Amar Ramli.

“Tidak lama kemudian, dua rakan lelaki itu juga datang ke rumah berkenaan dan meminta perkara sama dan mangsa kemudiannya dirogol bergilir-gilir oleh mereka,” katanya.

Semua suspek berusia antara 32 dan 33 tahun direman tujuh hari hingga 29 Ogos untuk siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu merogol secara berkumpulan.

ProjekMM

Loading...