Monday , August 26 2019
Home / :BLOG: / Remaja Rosak Makanan dalam Family Mart Tampil Mohon Maaf

Remaja Rosak Makanan dalam Family Mart Tampil Mohon Maaf

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Dua orang remaja lelaki tampil memohon maaf setelah sengaja merosakkan beberapa paket makanan dan minuman di sebuah kedai serbaneka Family Mart di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.
 
Semalam, tular di media sosial apabila remaja berkenaan telah memuat naik Instagram Story di akaun Instagram peribadi @luqbubbles yang sengaja merosakkan dengan memicit paket makanan dan turut membuka sebotol minuman yang sengaja diminum lalu diletakkan kembali ke tempat asal.
 
Perbuatan tidak beradab dan tanpa rasa bersalah remaja berkenaan telah mengundang rasa marah dan kecaman netizen menyebabkan remaja tersebut memuat naik video berdurasi 0.35 saat untuk memohon maaf.
 
“Assalamualaikum.. Sayalah budak yang viral apa benda picit-picit roti semua tu kan, yang minum air main buka semua tu. Sekarang ini saya mahu minta maaf dekat netizen-netizen tu lah yang tengok video tu, yang rasa kurang senang, rasa nak pijak ke apa semua.
 
“Saya minta maaf banyak-banyak, sekarang ini saya ada kat Family Mart, saya dah minta maaf dengan semua pekerja kat sini, dan saya nak bertanggungjawab untuk bayar balik apa semua tu lah.
Terima kasih..Saya janji tak buat lagi.. Selamat Hari Raya,” katanya.

Video itu dirakam oleh rakannya yang turut bersama dengan remaja berkenaan semasa berada di kedai serbaneka itu.
 
Polis telah menerima laporan kejadian daripada pengurus premis pada jam 11.20 malam setelah membuat semakan melalui rakaman kamera litar tertutup.
 
Makanan dan minuman yang sengaja dirosakkan berjumlah RM30.
 
Malah, polis kini sedang mengesan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

FrontDesk BERNAMA

Loading...