Home / :BLOG: / #PRKSemenyih Enam Lokasi Dijangka Alami Kesesakan Esok

#PRKSemenyih Enam Lokasi Dijangka Alami Kesesakan Esok

Enam lokasi laluan dijangka mengalami kesesakan berikutan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah berkata pihaknya sudah melakukan perancangan rapi dengan menempatkan anggota trafik bagi memastikan kelancaran di lokasi itu.
“Antara laluan dikenalpasti ialah di tiga lampu isyarat di Bandar Sunway, Paling Jaya serta Sg Lalang, selain laluan ke Pekan Semenyih, Batu 26 Beranang dan Bandar Rinching.
“Orang ramai yang tidak terlibat dengan urusan pengundian disaran menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Eco Setia Hill, Jalan Ecoworld dan Lebuhraya Lekas bagi mengelakkan kesesakan di laluan utama Kajang-Semenyih-Beranang,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini..
Laluan di pusat penjumlahan undi di hadapan Dewan Cempaka Saujana Impian di sini akan ditutup serta dilencongkan esok bermula dari pukul 2.00 petang sehingga keputusan PRK Semenyih diumumkan.
Seramai 1,115 anggota polis serta kakitangan awam akan bertugas esok.
Dalam pada itu, Mohd Sabri berkata rakaman video tular insiden kekecohan yang dikatakan berlaku semasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada satu program di sini adalah tidak benar.
Katanya, ia bukannya berlaku sewaktu kempen PRK DUN Semenyih tetapi adalah rakaman video lama berlaku pada 2017 serta terjadi di luar kawasan Kajang.
PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul, Zakaria Hanafi dari Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor dari Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. – BERNAMA

Loading...