PRK Rantau: BN perlu kerja kuat selepas Anwar menari

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan secara berseloroh memaklumkan beliau terpaksa berkempen dengan lebih kuat selepas ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mula menari di Rantau.
Menurutnya, beliau perlu melipat gandakan usaha jika mahu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tarian Anwar telah menyebabkan peratusan undi Pakatan Harapan (PH) meningkat 10 peratus.

“Dia lepas tazkirah pergi menari ya? Tak mengapalah. Saya tak pandai menari dan menyanyi. Kalau game (sukan) saya ok. Apa sahaja game saya ok.
“Ini bermakna saya kena kerja lebih kuat sebab bila Anwar menari peratusan undi (PH) naik 10 peratus,” katanya sambil tergelak kecil pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau dekat sini hari ini.

Anwar malam tadi sekali lagi mempamerkan bakat terpendam beliau menari dan menyanyi lagu Tamil di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas Rantau dekat sini.Ahli Parlimen Port Dickson itu menyajikan tarian itu hampir tiga minit dengan iringan penghibur tempatan yang mendengangkan lagu daripada filem lakonan MG Ramachandran (MGR).

Anwar pernah mempamerkan bakat sama di hadapan pengundi India semasa beliau bertanding PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada 6 Oktober tahun lalu.

Presiden PKR itu seterusnya menyeru masyarakat India yang menghadiri majlis itu jangan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kata Anwar, pengundi India di Rantau tidak sepatutnya mengundi Mohamad yang sinonim dengan jolokan Tok Mat itu kerana Tok Mat kini berkawan dengan Pas.

“Jadi aci kena ingat mesti sokong (calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram). Lawan Tok Mat dia campur sama Pas. Dia bilang mahu jaga hidup Melayu. India mahu letak mana. Cina mahu letak mana. Ini negeri kita kena jaga Melayu, India, Cina.

“Pilihan raya di Rantau memang cuma pilihan raya kecil, tetapi kalau kita tak jaga dan beri Tok Mat menang, dia akan bergabung dengan Pas mahu India letak mana,” katanya lagi. – K! ONLINE

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading...
Loading...