Thursday , September 19 2019
Home / Berita / Peti ais hempap kanak-kanak baru dibeli lapan bulan

Peti ais hempap kanak-kanak baru dibeli lapan bulan

SEREMBAN 14 Julai – Sebuah peti sejuk yang menghempap seorang kanak-kanak, Muhammad Fawwaz Adli Mohd. Bukhari, 5, kelmarin baru dibeli kira-kira lapan bulan lalu oleh bapanya.

Menurut Mohd. Bukhari Zainal Annuar, 33, dia membeli peti sejuk itu bagi menyimpan barang untuk berniaga dan meletaknya di ruang tamu buat sementara waktu.
“Saya tak sangka peti ais setinggi kira-kira 1.8 meter dan baru lapan bulan dibeli itu boleh tumbang dan menimpa kepala anak saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam kelmarin, Muhammad Fawwaz Adli cedera di kepala dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ selepas dihempap peti sejuk di rumahnya di Taman Cempaka, Nilai di sini.

Mohd. Bukhari berkata, semasa kejadian hanya isterinya, mangsa dan dua lagi anak lelakinya masing-masing berusia tiga tahun dan dua bulan berada di rumah manakala dia berada di Rasah.
“Isteri saya menghubungi saya memaklumkan kejadian itu. Seorang jiran membantu membawa anak saya hingga ke Labu dan dari situ saya mengambil dan terus membawanya ke HTJ.

“Ketika itu dia masih sedar dan menangis semasa saya membawanya ke hospital, tetapi dia kelihatan sangat lemah,” katanya.
Mohd. Bukhari berkata, menurut isterinya kejadian itu berlaku sekelip mata semasa mereka berada di ruang tamu rumah.

“Isteri saya yang sedang menonton televisyen tiba-tiba mendengar bunyi dentuman di belakangnya dan melihat peti ais tersebut telah tumbang sebelum mendengar tangisan anak sulung kami itu,” ujarnya.

Katanya, Muhammad Fawwaz Adli ditemukan terbaring di sebelah peti sejuk itu dengan kepalanya berdarah dipercayai akibat terkena bucu peti ais berkenaan.

“Mungkin dia memanjat pintu peti ais itu kerana dia pernah beberapa kali cuba masuk ke dalam peti ais kosong tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan anaknya semakin baik pagi ini walaupun masih tidur dan mengharapkan orang ramai mendoakan kesembuhannya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata, kanak-kanak itu dijangka menjalani pembedahan untuk membuang pedarahan di bahagian kepala hari ini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat kanak-kanak itu di HTJ hari ini berkata, pihak hospital memaklumkan keadaan Muhammad Fawwaz Adli tidak terlalu serius dan boleh dirawat. – UTUSAN ONLINE

Loading...