Ketua Penerangan Pas negeri, Dr. Saifizi Saidon berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu diletakkan di bawah pengawasan rapi di CCU hospital berkenaan dengan hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat.

Katanya, doktor menasihatkan mana-mana pihak yang ingin melawat Mohd. Shukri agar menangguhkannya sehingga dimaklumkan kelak.

“Pas Perlis juga akan sentiasa mengemas kini keadaan semasa beliau (Mohd. Shukri) serta meminta orang ramai agar tidak membuat, menyebar atau mempercayai sebarang maklumat yang datang bukan daripada sumber rasmi parti.

“Semua pihak juga diseru agar dapat terus mengadakan solat hajat serta mendoakan kesihatan beliau,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Shukri ketika berucap pada ceramah muafakat Pas-UMNO di Dewan 2020 di sini, malam tadi, rebah dipercayai akibat serangan jantung.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Mohd. Shukri sebagai penceramah pertama ketika itu sedang memberi kata-kata aluan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas sebelum secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Berikutan itu, Mohd. Shukri telah diberi bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawanya ke HTF lima minit kemudian.

Ceramah tersebut turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan lebih 2,000 penyokong kedua-dua parti itu.- UTUSAN ONLINE