Suspek berusia 25 tahun yang merupakan seorang penganggur itu ditahan pada pukul 11.10 malam di sekitar Jalan Taman Emas, Kepong di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, tangkapan dibuat selepas sebuah syarikat sewa kereta membuat laporan polis bahawa kereta jenis Honda City warna putih yang dikehendaki polis, disewakan kepada suspek.

“Hasil pemeriksaan pihak polis menemukan enam pil erimin 5 dalam milikan suspek selain mendapati dia positif dadah.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai satu saman lampau membabitkan kemalangan jalan raya yang masih belum dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman memberitahu, sampel darah suspek diambil untuk di hantar ke Jabatan Kimia bagi proses analisis ujian darah.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sebelum itu, media melaporkan dua peserta larian Standard Chartered KL Marathon cedera dalam satu kejadian langgar lari di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Ampang menghala ke Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) di ibu negara semalam.

Ketika kejadian pada pukul 6.20 pagi itu, dua peserta lelaki berusia 44 tahun dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis Honda City yang terbabas di laluan berkenaan, menyebabkan kedua-duanya jatuh di atas jalan raya. – UTUSAN ONLINE