Home / Berita / Pelakon terkenal ditahan cederakan bekas tunang

Pelakon terkenal ditahan cederakan bekas tunang

KUALA LUMPUR 28 Julai – Seorang pelakon lelaki terkenal yang baru putus tunang ini ditahan polis selepas didakwa mencederakan bekas tunangnya dengan mencekik serta menumbuk mulut mangsa hingga berdarah dalam kejadian di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, siasatan awal mendapati pelakon yang berusia 27 tahun itu telah datang ke rumah bekas tunangnya sebelum memaksa mangsa masuk ke dalam keretanya.

“Semasa di dalam kereta, suspek itu telah mengeluarkan kata-kata kesat selepas mangsa memintanya untuk tidak meneruskan hubungan dengan seorang rakan sejenisnya.

“Suspek yang marah kemudian telah mencekik, menumbuk muka dan mulut mangsa sehingga berdarah malah kejadian ini telah berlaku berulang kali sebelum suspek bertindak memutuskan pertunangan di antara mereka pada Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Menurut Ismadi, mangsa yang berusia 23 tahun ingin menyelesaikan masalah tersebut secara baik, namun suspek bertindak melampaui batas sehingga dia membuat keputusan untuk melakukan laporan polis.

Jelasnya, mangsa juga telah dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut namun tiada kesan kecederaan ditemui kerana ia telah lama berlaku.

“Suspek ditahan polis selepas menyerah diri di Balai Polis Bandar Kinrara dan mengaku mencederakan mangsa. Suspek bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan polis sebaik sahaja rakaman percakapan diambil,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun yang sama kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...