Home / :BLOG: / Peguam Negara perlu telus dakwa pemimpin terlibat LTTE: Mufti Perlis

Peguam Negara perlu telus dakwa pemimpin terlibat LTTE: Mufti Perlis

 

IPOH – Jabatan Peguam Negara diminta melakukan proses pendakwaan secara telus terhadap pemimpin yang disiasat terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pihaknya mahu Jabatan Peguam Negara dilihat adil kepada semua rakyat di negara ini.

Menurutnya, rakyat tidak mahu tindakan meragukan oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas terhadap kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 26, sebelum ini berulang.

“Saya juga mengharapkan Jabatan Peguam Negara akan melakukan proses yang telus terhadap pendakwaan pengganas LTTE ini. Kita sudah ada keraguan dan menjadi persoalan kepada masyarakat sebelum ini berhubung kes Adib, umpamanya kenyataan Peguam Negara yang tidak wajar.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada LTTE apabila ia membabitkan kaum tertentu kerana sepatutnya Jabatan Peguam Negara perlu dilihat bebas dalam hal ini.

“Itu yang kita harap berlaku. Saya percaya rakyat memerhatikan hal ini. Apabila LTTE diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas maka mereka perlu dilayan sebagai pengganas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Liqa’ Mahabbah Jabatan-Jabatan Mufti Se-Malaysia 2019 di Pusat Konvenyen Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Dr Mohd Asri berkata demikian sebagai mengulas mengenai siasatan dan tangkapan terkini pihak polis membabitkan beberapa pemimpin politik termasuk dari DAP disyaki terlibat kumpulan pengganas LTTE.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mewakili Menteri Besar Perak.

Dalam pada itu, Mohd Asri turut hairan melihat terdapat beberapa pemimpin politik khususnya DAP mengeluarkan kenyataan mempertahankan kumpulan pengganas LTTE itu.

“Ada sejarah mereka membunuh orang di dalam masjid, bunuh orang bukan Islam, pemimpin-pemimpin negara seperti di India, mencederakan duta seperti yang dimaklumkan pihak polis.

“Saya sangat hairan apabila ada ahli-ahli politik boleh mempertahankan LTTE dan saya lihat mereka ini kalau satu dua orang tidak mengapa tetapi berbelas-belas orang ahli politik yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan LTTE,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan menggunakan kaedah terbaik menggunakan undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam usaha mengekang kumpulan pengganas berkenaan.

Katanya, Islam jelas menolak sebarang bentuk keganasan bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kepada orang bukan Islam.

“Saya ucap terima kasih dan tahniah kepada PDRM kerana bertindak sewajarnya dalam hal ini dan terima kasih juga dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyerahkan siasatan kepada PDRM.

“Tapi bagaimana menteri boleh membuat kenyataan mendahului pihak polis. Pihak kerajaan mesti mengambil apa-apa mekanisme yang ada untuk mengekang keganasan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pada Majlis Penutupan Liqa’ Mahabbah Jabatan-Jabatan Mufti Se-Malaysia 2019 itu, Jabatan Mufti Perlis diumumkan johan keseluruhan bagi edisi pertama membabitkan hampir semua Jabatan-jabatan Mufti seluruh negara.

Liqa’ Mahabbah merupakan acara sukan dwi tahunan melibatkan kakitangan Jabatan Mufti seluruh negara bermula pada tahun 2010 dengan hanya melibatkan tiga Jabatan Mufti di Perak, Kedah dan Perlis sebelum disertai beberapa Jabatan Mufti negeri-negeri lain pada edisi berikutnya.

SH

Loading...