Home / :BLOG: / Mohon YB Mujahid Kekalkan Dasar Lama Subsidi Tabung Haji

Mohon YB Mujahid Kekalkan Dasar Lama Subsidi Tabung Haji

Saya dimaklumkan mengenai dasar baru subsidi Haji yang diperkenalkan Menteri YB Datuk Seri Mujahid dan pihak Tabung Haji. Bagi mereka yang merayu walaupun kali pertama menunaikan Haji mengikut Pakej Muassasah tetap dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900.

Ini berbeza dengan dasar lama di bawah Kerajaan BN dahulu yang menyarankan Pihak Tabung Haji tetap memberikan subsidi kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan mereka untuk mengerjakan Haji kali pertama dengan hanya membayar jumlah RM9,980 seorang (subsidi sebanyak RM12,920).

Adalah tidak wajar dikenakan caj penuh kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan sedangkan kebanyakan mereka bukanlah dari kalangan orang yang berada.

Berdasarkan pengalaman lama, sekitar 20-25% kekosongan setiap tahun daripada jumlah kuota yang ditetapkan lantaran kematian, keuzuran dan pelbagai faktor lain yang menyebabkan jemaah yang sepatutnya dijadualkan mengerjakan Haji pada tahun tersebut menarik diri. Kekosongan inilah yang biasanya diisi oleh mereka yang merayu.

Jika mengikut dasar lama Tabung Haji, keutamaan pertimbangan rayuan akan diberikan kepada mereka yang perlukan mahram, mengiringi ibu atau bapa yang uzur dan mereka yang mencecah umur melebihi 60-70 tahun.

Justeru adalah tidak wajar dan munasabah jika YB Menteri dan pihak Pengurusan baru Tabung Haji mengenakan caj penuh kepada mereka yang hakikatnya kali pertama menunaikan haji dan rata-rata bukanlah dari kalangan orang yang senang dan mewah.

Pemuda UMNO menggesa agar YB Menteri dan pihak Pengurusan Tabung Haji untuk mempertimbangkan kembali dasar baru ini kerana hakikatnya begitu membebankan dan menyusahkan rakyat yang ingin menunaikan kewajipan rukun Islam ke-5.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

15 Februari 2019

Loading...