Home / Berita / Semasa / Lelaki cuba rasuah pegawai KPDNHEP ditahan

Lelaki cuba rasuah pegawai KPDNHEP ditahan

SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menahan seorang lelaki kerana cuba memberi rasuah kepada penguat kuasa kementerian itu semasa menjalankan tugas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Johary Yacob berkata, lelaki itu yang juga merupakan seorang pemegang lesen barang kawalan ditahan kerana memberi wang tunai berjumlah RM2,600 kepada pasukan penguat kuasa KPDNHEP agar tidak mengenakan tindakan ke atas premisnya.

Katanya, premis tersebut dikesan melakukan kesalahan, dipercayai menyimpan barang kawalan melebihi had dibenarkan.

“Pasukan kita tiba di premis berkenaan kira-kira jam 10.45 pagi kelmarin bagi tujuan membuat pemeriksaan ke atas buku stok bagi barang kawalan yang telah dilesenkan ke atas premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis berkenaan telah melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu mempunyai dalam milikan had yang melebihi dari yang dinyatakan dalam lesen iaitu sebanyak 140 kilogram gas cecair petroleum pada satu-satu masa.

“Semasa tindakan mahu diambil, pemilik premis telah melakukan cubaan merasuah pasukan kita dengan menawarkan wang tunai berjumlah RM2,600 bagi tujuan tidak mengenakan tindakan terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Tambahnya, sebaik kejadian itu, pihaknya menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kes diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

Sehubungan dengan itu, pihak KPDNHEP Negeri Sembilan memberi amaran kepada para peniaga agar tidak melakukan cubaan merasuah kepada mana-mana pegawai di kementerian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

Sinar Harian

Loading...