Friday , August 23 2019
Home / :BLOG: / Lebih Baik D4P keluar PH Dari Desak Tun M Letak Jawatan

Lebih Baik D4P keluar PH Dari Desak Tun M Letak Jawatan

Adalah lebih baik untuk DAP mengisytiharkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) berbanding mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pandangan itu dilontarkan bekas ahli DAP yang juga aktivis politik, Rahmad Isahak yang menambah, tindakan tersebut adalah lebih bermaruah dan berintegriti selain menunjukkan ketegasan perjuangan pemimpin DAP dalam kalangan ahli mereka.
Tambah beliau, tuduhan pemimpin DAP terhadap Dr. Mahathir yang didakwa memperlekehkan manifesto PH adalah sesuatu yang serius dan biadab.
Malah, ujarnya, tuduhan itu juga menunjukkan hilangnya kepercayaan DAP terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri yang dipilih PH.
“Apabila desakan sebegini dibuat, ia mendatangkan liabiliti sokongan rakyat terhadap parti komponen PH khususnya DAP yang dilihat seperti bersikap ‘kacang lupakan kulit’ serta ‘habis madu sepah dibuang’.
“Kenapa baru sekarang perkara ini dijadikan isu setelah majoriti pengundi berbilang kaum mengambil ‘semangat dan pengaruh’ Dr. Mahathir pada dasarnya sebagai faktor utama sehingga berjaya menjatuhkan kerajaan terdahulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau mendesak Dr. Mahathir meletakkan jawatan kerana didakwa memperlekehkan manifesto PH yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.
Menurut Cheng Hau, kenyataan Dr. Mahathir yang mana ‘manifesto hanyalah panduan dan bukan kitab’ menunjukkan beliau tidak yakin terhadap diri serta janji-janji tersebut.
Sementara itu, Rahmad turut mempersoalkan sama ada desakan yang dibuat DAP terhadap Dr. Mahathir tersebut adalah isyarat awal bakal berlakunya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri berkenaan.
Katanya, perkara itu berikutan rasa tidak puas beberapa pemimpin DAP terhadap pentadbiran kerajaan di bawah Dr. Mahathir ketika ini selain tindakan beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima kemasukan bekas ahli UMNO ke dalam partinya. – UTUSAN ONLINE

Loading...