Home / :BLOG: / Kenyataan Pemangku Presiden UMNO, Tok Mat

Kenyataan Pemangku Presiden UMNO, Tok Mat

Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Johor Bahru dan Ketua Pemuda PKR, Saudara Akmal Nasir yang meminta UMNO memulangkan semula dana yang katanya diterima dari 1MDB.

Pertama sekali, pemfailan oleh SPRM untuk pengembalian dana yang kononnya dari 1MDB tersebut adalah satu proses undang-undang. Komitmen terbaik UMNO adalah untuk menghormati proses tersebut, tidak melakukan sebarang campur tangan dan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Amat pelik jika seorang Ahli Parlimen menggesa saya untuk memintas proses undang-undang hanya kerana mahu menurut permintaan beliau yang tidak berasas. Adakah saudara Akmal sebenarnya tidak yakin bahawa SPRM boleh membuktikan kes mereka dan beliau tidak mempercayai kebolehan mahkamah dalam membicarakan kes ini?

Kedua, saya tegaskan bahawa permintaan itu bukan sahaja tidak berasas tetapi amat jelas menunjukkan yang Akmal tidak peka dengan keadaan semasa. Ini kerana, sekalipun dana yang diterima UMNO itu dibuktikan kelak sememangnya datang dari 1MDB, bagaimana untuk UMNO pulangkan sedangkan dana UMNO sudah dibekukan oleh Kerajaan?

Ketiga, jangan salah faham, saya bukan dalam proses untuk bersaing dengan sesiapa pun. UMNO tidak bermain geng-geng dalaman. Fokus saya sekarang adalah untuk memulihkan UMNO dan mengukuhkannya secara keseluruhan. Ini bukan perlumbaan seperti mana pergeseran Azmin vs Anwar.

Sebagai seorang Ahli Parlimen, bercakap tanpa sebarang pengetahuan asas undang-undang dan fakta terkini adalah sangat mengecewakan. Sekalipun ingin muncul relevan dan berpemikiran, saya harap Saudara Akmal boleh memberikan cadangan yang kalaupun tidak bernas, sekurang-kurangnya biarlah rasional dan praktikal.

Loading...