Home / :BLOG: / Kecil Saiz Penjawat Awam, Ribuan Guru Bakal Dibuang

Kecil Saiz Penjawat Awam, Ribuan Guru Bakal Dibuang

pic ehsan glamlelaki.my
Baru-baru ini Perdana Menteri dan Kerajaan PH mengatakan bahawa mereka ingin mengurangkan jumlah penjawat awam di Malaysia. 
Tun Mahathir berkata, ketika beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-empat dahulu jumlah penjawat awam hanyalah satu juta, tetapi kini ianya telah meningkat kepada 1.7 juta.
Oleh itu beliau berkata jumlah ini terlalu besar dan perlu dikecilkan.
Sebuah institut kajian dasar menyokong PH iaitu Penang Institute pula telah menyatakan bahawa Malaysia hanya memerlukan 430 ribu penjawat awam.
Mengikut mereka lagi, nisbah jumlah penjawat awam kepada bilangan rakyat adalah besar di Malaysia berbanding negara-negara maju yang lain.
Ada beberapa perkara yang janggal dalam saranan dan hujah Tun Mahathir dan Kerajaan PH ini.
Pertama, semasa pentadbiran Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-empat dahulu, jumlah rakyat Malaysia adalah 25 juta, kini bilangan rakyat Malaysia adalah 32 juta. 
Oleh itu, dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini sejak tahun 2003, nisbah peratusan penjawat awam berbanding rakyat Malaysia adalah tidak banyak berubah sebenarnya iaitu daripada 4% ke 5%. 
Kedua, di negara-negara maju, pengiraan nisbah penjawat awam kepada bilangan penduduk tidak mengambil kira bilangan penjawat-penjawat awam dalam perkhidmatan wajib atau ‘mandatory service’ seperti polis, askar, bomba dan guru seperti di Malaysia.
Sekiranya penjawat-penjawat awam ini tidak dikira dalam pengiraan tersebut, maka nisbah penjawat awam kepada rakyat di Malaysia adalah jauh lebih rendah.
Ketiga, saiz ekonomi Malaysia pada tahun 2003 adalah RM500 billion. 
Kini saiz ekonomi Malaysia adalah RM1,300 billion atau RM1.3 trillion.
Ini adalah peningkatan sebanyak 160% dalam saiz ekonomi dalam tempoh 2003 ke 2018, berbanding peningkatan sebanyak 70% dalam jumlah penjawat awam dalam tempoh yang sama.
Oleh itu kadar peningkatan jumlah bilangan penjawat awam di antara tahun 2003 sehingga tahun 2018 adalah sebenarnya jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan kadar peningkatan saiz ekonomi Malaysia.
Dan kadar peningkatan bilangan penjawat awam ini juga adalah sejajar dengan peningkatan produktiviti.
Mengikut data dan kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan World Bank, sejak tahun 2003, Malaysia mempunyai perkhidmatan awam antara yang paling cekap dan berkesan di dunia iaitu pada kadar 85 percentile jika dibandingkan dengan negara-negara lain termasuk negara-negara maju.
Maklumat kajian ini juga menunjukkan yang selepas tahun 2003, penjawat awam di Malaysia adalah cekap, telahpun menggunakan teknologi, berkesan dan mempunyai produktiviti yang tinggi dan bukan malas seperti yang ditohmah.
Keempat, jumlah terbesar penjawat awam kini adalah dari kalangan guru iaitu seramai 430 ribu orang.
Pertambahan guru berlaku selepas tahun 2003 terutama semasa zaman Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak dengan mengurangkan nisbah jumlah murid kepada guru dalam setiap kelas.
Jika kini jumlah penjawat awam dikurangkan oleh Kerajaan PH kepada 430 ribu orang seperti yang dicadangkan oleh mereka, maka boleh dibayangkan seolah-olah yang hanya akan tinggal berkhidmat dalam perkhidmatan awam adalah guru sahaja untuk mengekalkan nisbah murid kepada guru seperti di atas.
Sebaliknya penjawat-penjawat awam yang lain seperti polis, bomba dan askar serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan akan dibuang. Ini tidak masuk akal.
Apa yang berkemungkinan besar akan berlaku adalah sebaliknya: iaitu sebahagian besar penjawat awam yang akan dibuang adalah guru dan perkhidmatan sokongan seperti kerani, pembantu pejabat dan pegawai-pegawai rendah.
Ini akan menjejaskan tahap keberkesanan perkhidmatan awam termasuk kualiti pendidikan kepada anak-anak di samping menerukkan lagi masalah pengangguran di Malaysia.
Kelima, sebab utama Kerajaan PH ingin mengecilkan saiz penjawat awam bukanlah kerana soal kecekapan atau produktiviti, alasan ini tidak boleh dipakai seperti yang telah dibuktikan di atas.
Sebab utama adalah kerana kegagalan mereka (Kerajaan PH) menguruskan kewangan yang menyebabkan ekonomi merudum dan kelompongan bajet berpuluh billion akibat ketirisan SST.
Sebelum ini saya pernah berkata bahawa ketirisan SST dianggarkan berjumlah lebih RM10 billion setahun yang memberikan kesan negatif kepada bajet Kerajaan.
Lebih kurang separuh daripada bajet Kerajaan setiap tahun digunakan untuk membayar gaji, elaun dan pencen penjawat awam. 
Sebelum ini, semasa zaman Kerajaan BN, kita tidak pernah mempunyai masalah untuk membayar gaji penjawat awam, malah setiap tahun menambah bilangan mereka serta meningkatkan gaji mereka lagi.
Namun kini, di bawah Kerajaan PH, untuk menutup kelompongan bajet akibat kegagalan mereka mentadbir ekonomi dan kewangan negara, mereka mahu buang penjawat awam pula.
Akibat dasar mereka ini, yang untung adalah pihak-pihak yang lari dari bayar cukai akibat ketirisan SST berbillion ringgit setiap tahun.
Yang rugi adalah penjawat-penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia.
ISHAM JALIL
Presiden SUKARELAWAN MALAYSIA
27 Februari 2019
P/S: Mohon tonton klip video di bawah untuk maklumat lanjut. Terima kasih.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=417845238971006&id=220524935369705

Loading...