Home / :BLOG: / Jasa Tok Mat, prestasi PH jadi bualan pengundi Rantau

Jasa Tok Mat, prestasi PH jadi bualan pengundi Rantau

Pengaruh Datuk Seri Mohamad Hasan dan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah dua faktor yang akan menjadi pertimbangan pengundi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak lama lagi.
Tinjauan yang dibuat di beberapa kawasan di DUN tersebut hari ini mendapati kedua-duanya menjadi topik perbualan pengundi ketika ditanya siapa yang akan dipilih mewakili mereka kelak.
Seorang pengundi, Ruslan Yaacob, 52, berkata, jasa dan sumbangan Mohamad yang menang di kerusi itu sejak tahun 2004 tetap diingati penduduk dan sebahagian besar mahu beliau terus menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Pengaruh beliau masih kuat. Semasa menjadi Menteri Besar banyak bantuan diberikannya di DUN Rantau ini. Macam-macam projek dan bantuan kebajikan untuk penduduk.
“Apa-apa peruntukan yang kami minta semua dapat. Masjid dan surau banyak dibantu malah dipasang pendingin hawa, begitu juga bantuan persekolahan dan keperluan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
PRK DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah.
Barisan Nasional hampir pasti mencalonkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, manakala pakar bius, Dr. S. Streram yang merupakan Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dijangka mewakili PH.
Sementara itu, seorang pengundi, Samsudin Dolah, 62, pula membangkitkan isu janji-janji yang gagal ditunaikan PH sejak membentuk kerajaan sembilan bulan lalu bakal memberi kesan kepada undi diterima mereka.
“Ramai penduduk kampung tak puas hati. Dulu banyak bantuan kami terima tapi sekarang sudah tidak ada. Masih ramai ketua kampung belum dilantik, hendak minta tandatangan pun susah. Rakyat masih belum nampak apa yang kerajaan baharu mahu buat,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Nizam, 35, berpandangan sudah sampai masanya DUN Rantau mempunyai wakil rakyat baharu selepas kira-kira 15 tahun di bawah Mohamad.
“Kalau Tok Mat (Mohamad) menang lagi, kawasan ini kekal seperti sekarang. Tidak ada pembangunan dan projek baharu kerana kerajaan negeri dan Pusat di bawah PH. Sudah tentu Rantau tak diberi perhatian kalau wakil rakyatnya dari parti pembangkang,” katanya.
Bagi M. Anbuashkan, 61, pengundi kaum India juga kurang berpuas hati kerana kerajaan negeri tidak banyak menyalurkan bantuan seperti diharapkan manakala pemimpin PH tidak turun padang menemui rakyat di Rantau.
“Kita mahu lihat mereka buat kerja, PH sudah memerintah sembilan bulan, berapa lama mahu tunggu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...