Home / :BLOG: / Jangan tunduk kepada desakan LGBT – Noraini

Jangan tunduk kepada desakan LGBT – Noraini

Pergerakan Wanita UMNO menyuarakan kekesalan atas insiden perarakan Women’s March yang dicemari kehadiran penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sini hari ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, tindakan penyokong golongan itu dikhuatiri akan menjadi punca kepada kerosakan institusi sosial yang lebih besar kepada negara ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada apa sahaja desakan golongan tersebut.
“Golongan LGBT mempunyai hak seperti rakyat Malaysia yang lain  tetapi hak kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah menghalang mereka dari melakukan aktiviti tidak bermoral.
“Sekiranya golongan LGBT diiktiraf dan bebas melakukan apa sahaja aktiviti mereka, maka mereka akan merasakan mereka benar dan dilindungi undang-undang. Akibatnya, akan lahir pula generasi baharu dalam kalangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam satu himpunan dan perarakan Women’s March yang diadakan di sini hari ini, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.
Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut semalam, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Loading...