Thursday , September 19 2019
Home / Berita / Insitusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol

Insitusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol

Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol perpaduan semata-mata-mata, sebaliknya menjadi antara medium utama yang menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah selaku ketua utama negara, menyatupadukan rakyat akan menjadi keutaman Seri Paduka kepada kemakmuran dan kemajuan negara.

“Penyatuan ini bukan boleh dibuat secara hibrid ia kena buat berterusan. Tidak boleh kata selepas lima tahun tidak ada lagi program-program atau tidak ada langsung usaha-usaha untuk menyatukan, ini harus berterusan.

“Setiap daripada kita mempunyai peranan juga. Kalau kita di sini ada kawan di Sabah dan Sarawak, kita patut dekatkan. Kita mendekatkan mereka yang jauh dan dekatkan lagi orang yang dekat dengan kita.

“Nilai ini yang saya cuba terapkan khususnya untuk kaum-kaum lain, kita eratkan perpaduan antara sesama kita,” titah Sultan Abdullah dalam satu wawancara khas di Istana Negara baru-baru ini sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai.

Selaku Ketua Utama Negara, Sultan Abdullah menyedari bahawa Seri Paduka mempunyai peranan penting, bagi mewujud dan melestarikan kerukunan dan institusi Yang di-Pertuan Agong memberi naungan kepada setiap rakyat di negara ini.

Mengharapkan semua pihak agar turut sama memainkan peranan dalam soal itu, Seri Paduka bertitah: “Saya cuba hendak jadikan ini antara misi yang boleh saya lakukan. Mungkin tidak kesemua, kalau 10 peratus pun cukuplah, itu kira satu kejayaan besar bagi saya.” 

Mengulas lanjut, Sultan Abdullah bertitah banyak pihak menyatakan rakyat di negara ini dilihat semakin berpecah belah, namun Seri Paduka berpandangan ia tidak ‘serapuh’ seperti yang dikatakan.

“…kita mesti faham kita duduk dalam negara berbilang kaum, sudah tentu setiap kaum ini mempunyai pendirian dia, kaum itu mempunyai pendirian dia. Ini tidak bermakna kita seharusnya berpecah belah. Ya, kita boleh berkongsi sesuatu kepentingan bersama, kita patut menambah baik dan meningkatkan kepentingan bersama itu,” titah Seri Paduka.

Seluruh rakyat, titah Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengelak daripada menjadikan agama, perbezaan pandangan dan perbezaan buah fikiran sebagai faktor, yang menjarakkan hubungan antara kaum di negara ini.

Sebaliknya rakyat perlu terus mengekalkan dan memperkukuhkan lagi jati diri sebagai rakyat Malaysia selama ini yang sentiasa bertolak ansur serta hormat-menghormati antara satu sama lain, walaupun mempunyai perbezaan dalam beberapa perkara.

“Setiap agama dan pengikutnya mempunyai pendiriannya sendiri… saya orang Melayu, orang Islam, mesti saya hendak menobatkan agama saya, jadi janganlah kita persoalkan. Pada masa sama, kita perlu memahami kita tinggal di dalam negara yang berbilang kaum dan perlu juga memahami agama lain dan bangsa lain.

“Jangan jadikan agama sebagai satu perkara yang boleh membezakan kita sebagai rakyat Malaysia dan jangan mempolitikkan agama dalam hal politik di negara ini.

“Hal ini perlu dipandang secara serius dan kalau kita cuba nak menggunakan agama dalam hal politik, mungkin banyak mencetuskan kemarahan antara agama-agama atau kaum-kaum,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah menegaskan pada masa sama, kerajaan perlu memainkan peranan dengan terus mewujudkan dasar-dasar yang dapat mewujudkan sifat kebersamaan dalam kalangan rakyat, demi mengukuhkan lagi perpaduan serta keharmonian di negara ini.

Sultan Abdullah menzahirkan bahawa Seri Paduka amat memahami kepayahan serta keperitan yang yang terpaksa dihadapi oleh rakyat dan berazam untuk membantu mengurangkan kesusahan yang ditanggung.

“Setakat mana yang saya mampu, saya akan bantu sedaya yang saya boleh dan sekadar mana saya boleh bersuara dengan pihak kerajaan, saya akan bersuara, khususnya dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Bukan saya hendak campur tangan dengan urusan pentadbiran, tetapi tidak menjadi kesalahan jika saya memberikan pandangan peribadi apabila saya bertemunya pada (setiap) Rabu,” titah Seri Paduka.

— BERNAMA

Loading...