Monday , August 26 2019
Home / Berita / Insiden sesak nafas Pasir Gudang : Tiga kilang catat bacaan gas Metil Merkaptan tinggi

Insiden sesak nafas Pasir Gudang : Tiga kilang catat bacaan gas Metil Merkaptan tinggi

JOHOR BAHRU, 18 Julai – Tiga kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang telah dikenal pasti mencatatkan bacaan gas Metil Merkaptan yang tinggi.

Gas itu didapati menyumbang kepada insiden sesak nafas dan muntah-muntah yang sehingga kini masih berlaku di Pasir Gudang.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar berkata ketiga-tiga kilang itu berada dalam radius hanya tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, dua sekolah yang pertama kali terjejas akibat insiden itu.

Beliau berkata kehadiran gas pada bacaan 134 partikel per sejuta (ppm) itu melebihi kadar yang dibenarkan oleh JAS untuk dilepas ke udara iaitu sebanyak 40 ppm.

Bacaan dikesan pada hari kedua dan ketiga (sebelah siang dan malam) selepas kejadian dengan gas dipercayai terhasil akibat proses pengeluaran bahan seperti baja, plastik dan lain-lain, katanya.

“Sebenarnya pada tahap 10 ppm pun, gas ini sudah boleh dikesan dan ia juga boleh memberi kesan dan simptom itu (gejala sesak nafas dan muntah-muntah) seawal pada bacaan 20ppm jika seseorang tidak tahan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Norlin berkata selain gas itu, JAS juga mengesan dua lagi gas iaitu akrolein dan akrilonitril dari ketiga-tiga kilang berkenaan, namun bacaan kedua-dua gas itu terlalu rendah untuk mencetuskan simptom sesak nafas dan muntah-muntah.

“Sekarang ini, kilang-kilang tersebut telah dikenakan perintah tahanan operasi kelengkapan yang bermaksud memang tidak boleh beroperasi.

“Kita juga dalam usaha untuk melengkapkan kertas siasatan termasuk mengumpul bukti dan mengambil keterangan, sebelum membuat pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Norlin berkata meskipun tiga kilang itu telah ditahan operasi, momentum pemantauan terhadap kilang-kilang lain akan terus dijalankan termasuk membabitkan kilang-kilang haram kerana pada masa ini, masih terdapat simptom sesak nafas dan muntah dilaporkan berlaku di sekolah berhampiran iaitu dengan kes terbaharu di Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort.

“Memang betul kita telah menahan operasi kilang terbabit tetapi sehingga kini kita masih tidak menemui kaitannya dengan ujian darah dan air kencing pelajar.

“Oleh itu, selagi belum menemui punca sebenar, kita akan meneruskan pemantauan selain membuat kajian analisis beban dan daya tampung pencemaran bagi menilai dan menganalisis zon penampan, keadaan kualiri udara, air sungai, air bawah tanah serta potensi tanah tercemar yang boleh menyebabkan pencemaran udara di Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata mengikut rekod JAS, kesemua 257 kilang berasaskan kimia di Pasir Gudang telah selesai diperiksa dan usaha pemantauan kini lebih menjurus kepada kilang-kilang haram.

“Daripada rekod awal pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Pejabat Tanah dan Galian negeri, dipercayai terdapat 18 kilang haram beroperasi di Pasir Gudang namun tiga sudah diserbu.

“Selebihnya akan diperiksa kemudian dan tindakan akan diambil oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Norlin memberitahu pihaknya bersedia memberi ganjaran kira-kira RM5,000 kepada mana-mana orang awam yang menyalurkan maklumat tulen berhubung sebarang insiden pencemaran di negara ini.

Pemberian ganjaran itu katanya telah diperuntukkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan maklumat peribadi penyampai maklumat dilindungi.

— BERNAMA 

P/S: Gambar kredit kepada FB Page Ops Johor

Loading...