Tuesday , July 16 2019
Home / :BLOG: / Cukup-cukuplah bersandiwara atas nama penyatuan Melayu

Cukup-cukuplah bersandiwara atas nama penyatuan Melayu

Politik dalaman Pakatan Harapan (PH) didakwa semakin gawat sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad begitu terdesak merayu parti-parti Melayu menyertai PPBM atas nama penyatuan Melayu.

Ironinya, Dr Asyraf Wajdi Dasuki mendakwa Dr Mahathir yang mengajak Melayu bersatu ini jugalah, individu yang bertanggungjawab terhadap beberapa peristiwa perpecahan orang Melayu.

Dakwanya, perpecahan kali pertama berlaku ketika Dr Mahathir menutup peluang kumpulan Tengku Razaleigh menyertai UMNO baharu setelah diharamkan pada 1988 sejurus selepas pemilihan Presiden UMNO sehingga mereka terpaksa menubuhkan Parti Semangat 46.

Manakala perpecahan kedua sekali lagi berlaku ketika Dr Mahathir memecat timbalan presiden beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai tuduhan moral yang amat jijik sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Nasional pada 1999.

“Perpecahan ketiga berlaku apabila Tun Mahathir buat keputusan keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 apabila usaha-usaha dalaman beliau untuk menjatuhkan Tun Abdullah Badawi sebagai perdana menteri menemui jalan buntu walaupun Barisan Nasional (BN) mengalami kemerosotan teruk dalam PRU 12 sebelumnya dan hanya masuk UMNO balik setelah Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan.

“Sekali lagi perpecahan orang Melayu kali keempat berlaku apabila buat kesekian kali Tun Mahathir keluar parti UMNO kerana marah pula kepada Datuk Seri Najib sehingga melumpuhkan terus kerajaan dominasi Melayu sebelum ini apabila tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya dalam kenyataan di sini.

Ketua Pemuda UMNO itu menambah, malah sepanjang pentadbiran beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat dulu, menyaksikan pertembungan dengan Pas berlaku pada tahap yang serius termasuklah peristiwa Memali dan perbalahan sengit yang semacam tiada sedikit pun ruang untuk permuafakatan.

“Natijah terhadap semua peristiwa ini sebagaimana diperakui oleh Tun Mahathir sendiri telah mengakibatkan kuasa politik Melayu terbelah dan kian terhakis!

“Justeru cukup-cukuplah bersandiwara atas nama penyatuan Melayu walhal cuba meraih simpati rakyat demi memenuhi serakah kuasa yang tiada kesudahan!,” tambah Asyraf lagi.

Bagaimanapun, katanya, Dr Mahathir masih berpeluang untuk menebus kesilapan lampau – satu-satunya cara dengan membubarkan PPBM dan kembali menyertai UMNO, sekali gus bersama dengan Pas dalam agenda Penyatuan Ummah. – MalaysiaGazette

Komentar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading...