Sebaliknya, ia bukan giliran Pas yang perlu meminta maaf kepada UMNO berhubung isu tuduhan kafir.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Dr. Mahathir boleh membuat permohonan maaf tersebut secara terbuka.

Beliau malah memberitahu, kejadian di Memali juga berlaku pada waktu Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat.

“Beliau (Dr. Mahathir) perlu bertanggungjawab berhubung perkara ini. Ini bukan isu kafir atau Islam tetapi melibatkan kematian banyak nyawa.

“Pas juga boleh mengembalikan semula peristiwa sewaktu Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat. Beliau tidak memohon maaf sehingga ke hari ini berhubung peristiwa di Memali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir di Alor Setar hari ini yang berpendapat

Pas perlu menarik balik kenyataan bahawa UMNO adalah parti kafir terlebih dahulu sebelum kedua-dua parti memuktamadkan kerjasama mereka melalui pemeteraian satu piagam pada Sabtu ini.

Menurut Dr. Mahathir, kenyataan yang pernah disuarakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dahulu masih belum ditarik balik secara rasmi oleh parti berkenaan bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan UMNO.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah UMNO akan tetap meminta Pas meminta maaf berhubung isu kafir berkenaan, Asyraf Wajdi memberitahu, ia tidak menjadi isu kerana ia merupakan perkara yang sudah lepas.

Pada waktu ini, katanya, Pas dan UMNO dalam manifestasi untuk membina negara.

“Kami hendak membina negara Malaysia yang asal. Kami perlu hormat antara satu sama lain. Asas yang paling kuat untuk kedua-duanya adalah Melayu dan Islam,” ujarnya.

-UTUSAN ONLINE