Home / :BLOG: / Bomba selamatkan budak terperangkap dalam bilik air

Bomba selamatkan budak terperangkap dalam bilik air

SEREMBAN 29 Ogos – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terperangkap hampir setengah jam di dalam bilik air di rumah keluarganya di Taman Hijayu 3, Sendayan dekat sini malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, kanak-kanak tersebut, K. Varsana terperangkap di dalam bilik air itu selepas merajuk akibat ditegur oleh ibunya berusia 41 tahun kira-kira pukul 11.30 malam.

“Ibunya yang juga suri rumah telah menegur anak perempuannya itu selepas kanak-kanak itu berkelahi dengan adik-beradiknya menyebabkan dia merajuk.

“Beberapa minit kemudian abangnya mendengar tangisan Varsana dari dalam bilik air dan cuba membuka pintu bilik air itu, namun gagal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Syazwan berkata, ibu mangsa dan jiran mereka turut berusaha membuka pintu tersebut, tetapi tidak berjaya lalu menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Kata beliau, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dikerahkan ke rumah itu sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.39 malam.

Jelas beliau, pihak bomba tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian dan mengambil masa kurang lima minit untuk memecahkan tombol pintu bilik air tersebut bagi melepaskan kanak-kanak berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...