Home / :BLOG: / Bicara kes 1MDB Najib bermula hari ini

Bicara kes 1MDB Najib bermula hari ini

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes berprofil tinggi dan dinanti-nantikan umum melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka dimulakan jam 9.30 hari ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik mengetuai pasukan pendakwaan akan membacakan ucapan pembukaan berhubung kes berkenaan.

Sejurus selesai ucapan pembukaan, pihak pendakwaan dijangka akan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan.

Antara saksi yang akan ditampilkan termasuk Pegawai Pentadbiran Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen Malaysia serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri.

Prosiding perbicaraan didengar dihadapan Hakim Collin Lawrance Sequerah di Mahkamah Tinggi Jenayah 1.

Ketika ini ruang tempat duduk di galeri awam mahkamah telah dipenuhi pihak media selain peguam dan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penggunaan telefon bimbit dan komputer riba adalah dilarang sepanjang prosiding berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbicaraan kes 1MDB Najib tetap diteruskan

Rayuan Tommy ditolak, bicara 1MDB tetap bermula 19 Ogos

1MDB: Najib gagal tangguh prosiding

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini dan esok untuk perbicaraan.

Tarikh lain yang ditetapkan ialah sepanjang September, Oktober dan dua minggu pertama November dengan setiap hari Jumaat ditetapkan tiada perbicaraan.

Skandal mega yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan berhubung salah guna wang negara itu mencuri tumpuan dunia sejak dilaporkan media pada 2015.

Skandal itu juga dikatakan menjadi faktor utama tumbangnya pemerintahan kerajaan BN pada PRU 9 Mei tahun lalu.

Alasan utama penangguhan perbicaraan kes 1MDB adalah supaya perbicaraan kes SRC International yang telah berlangsung selama 52 hari diselesaikan terlebih dahulu.

Najib, 67, didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Sehingga kini, Najib telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah.

Najib, yang juga bekas Presiden UMNO, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/45178/BERITA/Mahkamah/Bicara-kes-1MDB-Najib-bermula-hari-ini
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Loading...