Home / :BLOG: / BERSIH HARUS ‘BERSIH DAN BERKECUALI’ DARIPADA MENJADI PERKAKAS PH

BERSIH HARUS ‘BERSIH DAN BERKECUALI’ DARIPADA MENJADI PERKAKAS PH

Saya meneliti sidang akhbar BERSIH mengenai kesalahan-kesalahan pilihan raya yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands. Seperti yang dijangka, BN didakwa melakukan kesalahan pilihan raya terbanyak berbanding PH malah dituduh menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk menang pilihan raya (senada dengan kenyataan pimpinan PH selepas keputusan).

Pengerusi BERSIH, Thomas Fann juga secara prejudis mengaitkan ceramah saya ketika bersama YB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan mendakwa saya dan Ketua Dewan Pemuda PAS memainkan isu perkauman dan agama. Persoalannya apakah perkongsian mengenai kedudukan Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa menyentuh hak dan kedudukan agama mahupun bangsa lain begitu mudah dituduh perkauman?

Kenapakah seringkali apabila penekanan diberikan kepada kedudukan istimewa Agama Islam dan Melayu-Bumiputera terus dianggap rasis sedangkan Pimpinan DAP yang memperjuangkan kesamarataan yang secara tidak langsung bermaksud mengambil hak Islam dan Melayu-Bumiputera yang telahpun termaktub dalam Perlembagaan tidak pula dikira perkauman dan rasis?

Kalau benar BERSIH ini bersifat berkecuali dan bukan alat perkakas PH, kenapa tidak turut mendedahkan secara menyeluruh kesalahan pilihan raya dan kempen perkauman yang dimainkan oleh DAP-PH? BERSIH seharusnya menyatakan pendirian dengan jelas adakah pendedahan-pendedahan berikut yang telah dilaporkan tidak terkait dengan perkauman atau kesalahan pilihan raya:

1. “Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir mereka (orang Melayu) akan undi Orang Asli.” Kenyataan rasis calon DAP Manogaran kepada Malaysiakini.

2. “Orang Melayu akan tanya: kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli? Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli,” kenyataan rasis Manogaran memperlekeh Orang Asli.

3. “Jika BN menang di Cameron Highlands, Orang Bukan Islam tidak akan dapat jadi Menteri, bahkan Ahli Parlimen nanti” – kenyataan rasis sewaktu Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sewaktu turun kempen.

4. Kenyataan twitter rasis Lim Kit Siang yang menganggap Orang Asli bukan warganegara penuh Malaysia.

5. Pengedaran risalah kempen perkauman dalam bahasa Mandarin “Kerajaan Baru, Harapan Baru, Pendidikan Cina semakin hebat” yang memfokuskan kepentingan hanya satu kaum;
*- Peruntukan kepada Sekolah Rendah Cina.
*- Peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina*
*- Peruntukan kepada pusat pengajian tinggi swasta (persendirian Cina)*
*- Peruntukan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina.*

6. Pengagihan wang tunai untuk merasuah terang-terangan Orang Asli atas nama Duit Minyak.

7. Kenyataan Senator PH mengugut untuk tidak membayar Batin-Batin Orang Asli jika tidak menyokong PH.

8. Pengunaan aset-aset Kerajaan seperti kenderaan pacuan 4 roda milik Pejabat Hutan Daerah Raub untuk berkempen.

9. Menceroboh kenderaan peribadi calon BN untuk merampas telefon bimbit yang merakamkan bukti kesalahan pilihan raya yang dilakukan PH.

10. Merasuah orang Asli pada malam terakhir dalam bentuk hamper.

11. Calon DAP memakai baju berlogo parti di dalam kawasan pusat pengundian.

12. Anggota Pentadbiran Kerajaan (Timbalan Menteri DAP) yang berkempen sewaktu hari bekerja dan bertindak kasar terhadap jentera kempen BN.*

12 PERKARA*di atas hanyalah sebahagian daripada puluhan kesalahan yang telah ditularkan meluas dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. Sekali lagi jika BERSIH badan berkecuali dan tidak lagi menjadi alat PH sejak mereka menjadi pembangkang lagi, maka BERSIH tidak boleh terus membutakan mata, menulikan telinga.

Justeru, Pergerakan PEMUDA UMNO ingin mempersoalkan motif sebenar di sebalik penubuhan BERSIH dan sekiranya benar-benar “bersih”, maka BERSIH harus tegas bukan sahaja mengetengahkan kesalahan-kesalahan PH kepada pihak berkuasa tetapi turut mendesak mereka mengambil tindakan segera terhadap segala laporan kesalahan pilihan raya calon dan jentera kempen PH. Buktikan BERSIH tidak lagi menjadi alat dan perkakas Kerajaan Pakatan Harapan!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

1 Februari 2019

Loading...