Friday , August 23 2019
Home / :BLOG: / Barisan exco Johor dijangka tampil 3 muka baru

Barisan exco Johor dijangka tampil 3 muka baru

Barisan exco Johor yang baru dijangka akan menyaksikan tiga muka baru.

Seorang sumber yang rapat dengan istana Johor memberitahu Malaysiakini, dua muka baru itu ialah Adun Tenang, Mohd Solihan Badri dan Adun Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi.
Kedua-dua mereka daripada Bersatu.

Mereka dijangka menggantikan Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan Adun Kempas Osman Sapian.
Sumber itu mengatakan Adun Perling dari DAP, Cheo Yee How  kemungkinan menggantikan Tan Hong Pin, yang merupakan Adun Skudai.

Bagaimanapun, sumber DAP memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu mahu meletakkan Adun Jementah, Tan Chen Choon dalam barisan exco yang baru dan bukannya Cheo.

“Mazlan dan Tan hampir pasti digugurkan.

“Jika tidak ada perubahan, exco baru ialah Tosrin dan Solihan (dari Bersatu),” kata sumber itu.
Pada 16 April, Malaysiakini melaporkan Tan dan Mazlan bakal digugurkan daripada barisan exco berikutan peletakan jawatan menteri besar Johor baru-baru ini.

Sahruddin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor pada 14 April bagi menggantikan Osman yang telah berkhidmat selama 11 bulan.

Osman mendakwa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah meminta rombakan exco dilakukan sebagai syarat untuk menggantikannya dengan menteri besar baru.

Tan dan Mazlan dikatakan bukan pilihan istana Johor.

Sebelum menjadi menteri besar, Sahruddin memegang portfolio kesihatan, alam sekitar dan pertanian.
Sementara itu, Tan bertanggungjawab terhadap portfolio kerajaan tempatan, sains dan teknologi manakala Mazlan memegang portfolio kerja raya, infrastruktur dan pengangkutan awam.

Barisan exco baru dijangka akan mengangkat sumpah esok.

Tidak jelas sama ada muka baru itu akan mengisi jawatan portfolio yang sama seperti pendahulunya. 
Namun Malaysiakini difahamkan terdapat juga rombakan semula portfolio secara keseluruhan.

Loading...