Saturday , September 21 2019
Home / Berita / Agong terima kejutan Hari Keputeraan di Istana Negara

Agong terima kejutan Hari Keputeraan di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Nyanyian lagu ‘Allah Selamatkan Tuanku’ berkumandang di Istana Negara malam ini sebagai kejutan bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60.

Kejutan itu berlangsung ketika Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersedia untuk berangkat pulang bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selepas selesai menghadiri Majlis Santapan Diraja malam ini.

“Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Duli Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku.

Bait lagu tersebut dinyanyikan penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah dan anak-anak Permata Seni Koir yang turut disertai oleh tetamu yang hadir.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan kek berbentuk singgahsana dan berkenan untuk memotong kek tersebut di hadapan lebih 700 tetamu yang hadir pada majlis itu.

Lebih manis, Tunku Azizah berkenan menyuapkan Seri Paduka potongan kek tersebut dan kemudian memberikan salam hormat serta pelukan.

Seri Paduka berdua kemudian turut berkenan bersalaman dan bergambar dengan tetamu yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis.

— BERNAMA

Loading...