Home / :BLOG: / 10 sebab Guan Eng mesti lepaskan jawatan

10 sebab Guan Eng mesti lepaskan jawatan

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bertanggungjawab sepenuhnya dengan sandiwara yang dimainkan beliau bahawa negara bakal bankrap kerana hutang negara sudah melangkaui RM1 trilion hanya untuk mengaburi mata rakyat atas kegagalan PH menunaikan janji manifesto.

Ini memberi kesan besar kepada keyakinan pelabur asing yang selama ini bergantung kepada maklumat rasmi Laporan Bank Negara Malaysia, Bank Dunia dan IMF yang semuanya melaporkan secara konsisten bahawa hutang negara hanya berjumlah RM686 bilion bersamaan 50.7 peratus daripada KDNK ketika BN memerintah.

Lim Guan Eng bertanggungjawab sepenuhnya kepada pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan memperkenalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga menyebabkan kerajaan menghadapi kelompongan purata hasil sebanyak RM20 – 30 bilion setahun.

Kelompongan ini juga menyebabkan Kerajaan PH terpaksa memperkenalkan cukai dan levi baharu yang lebih membebankan sehingga menjadikan Malaysia dirasai pelabur sebagai tidak lagi kondusif untuk perniagaan.

Kerajaan juga dipaksa menjual aset-aset bernilai tinggi negara sehingga RM20 bilion dalam tempoh masa 400 hari pemerintahan PH.

Penipuan Lim Guan Eng sewaktu menjawab di satu sidang Parlimen dengan mendakwa wang kutipan hasil GST telah dirompak oleh Kerajaan BN terdahulu telah menyebabkan pelabur-pelabur hilang kepercayaan berkenaan tahap tadbir urus negara.

Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar dana asing berterusan sehingga pernah mencecah RM38 bilion dalam tempoh sehari, bahkan Bursa Malaysia pernah mencatatkan kejatuhan teruk 270 mata dari 1,864 hingga hari ini 1,574 yang bersamaan kehilangan nilai aset sebanyak RM270 bilion.

Aliran keluar dana asing yang berterusan lantaran kegagalan Lim Guan Eng yang terus angkuh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab sehingga hari ini juga menyebabkan nilai Ringgit Malaysia terus jatuh berbanding dollar Amerika Syarikat sehingga ke paras RM4.20 bagi setiap AS$1 berbanding RM3.80 bagi setiap AS$1 pada sebelum PRU-14.

Lim Guan Eng telah membentangkan Belanjawan Kerajaan Persekutuan terbesar di dalam sejarah fiskal negara iaitu RM314 bilion, tetapi pada masa yang sama telah memotong dan membatalkan banyak bantuan-bantuan untuk golongan B40 seperti pemansuhan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), bantuan untuk nelayan, pesawah dan pekebun kecil. Beliau dilihat tidak berminat dengan pembangunan ekonomi luar bandar dan penduduknya yang rata-ratanya dari golongan B40.

Lim Guan Eng pernah mengugut industri dan perniagaan dengan pengenalan cukai-cukai baharu sekiranya kehendaknya tidak dituruti. Gejala ini menakutkan pelabur dan pembiaya. Pernah Lim Guan Eng ditegur Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin kerana tidak sepatutnya mengugut bank-bank untuk mengenakan cukai baharu jika arahannya untuk dipermudahkan kaedah pembiayaan perniagaan tidak dipenuhi.

Lim Guan Eng secara angkuh menggunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan untuk menfitnah dan merendah-rendahkan Kerajaan-Kerajaan Negeri seperti Kerajaan Negeri Kelantan yang didakwanya tidak mempunyai dana untuk membayar gaji, Kerajaan Negeri Pahang mengalami kedudukan kewangan yang tenat dengan hutang RM3.1 billion dengan Kerajaan Persekutuan, dan Kerajaan Negeri Sarawak bakal bankrap dalam masa tiga tahun di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Lim Guan Eng gagal memahami dan sombong untuk menghormati semangat federalisme di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Lim Guan Eng bertindak membuli dan mengugut Kerajaan Negeri Sarawak untuk membayar RM350 juta terlebih dahulu kepada Kerajaan Persekutuan sebelum beliau boleh meluluskan dan memulakan projek membaiki dan membina sekolah daif di Sarawak. Namun walaupun Ketua Menteri Sarawak telah membayar RM350 juta sebagaimana yang didesak, ternyata Lim Guan Eng menipu dan masih melengahkannya dengan alasan mahu mewujudkan pula jawatankuasa diperingkat Kerajaan Persekutuan.

Lim Guan Eng telah menjarah dana Petronas dengan memaksa pemberian dividen khas sehingga mencecah RM82 bilion dengan alasan untuk membayar kembali tuntutan GST dan Cukai Pendapatan.

Ini menjejaskan penarafan kredit Petronas oleh badan penarafan antarabangsa Moody’s yang menurunkan penarafan Petronas daripada A1 kepada A2 pada 20 Jun 2019 sehingga menjejaskan prestasi kewangan dan daya saing Petronas.

Lim Guan Eng jelas tidak berintegriti kerana didedahkan menipu kelayakan profesional yang kononnya seorang Akauntan Bertauliah, sebaliknya hanyalah Akautan Percubaan. Semakan mutakhir pada Badan Akauntan Bertauliah berkenaan mendapati tiada nama Lim Guan Eng disenaraikan.

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

* Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan Malaysia

Loading...